admin August 22, 2017

Belia berjiwa patriotik cipta kegemilangan negara

Tidak lama lagi kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-60. Kalau diukur menerusi umur manusia, angka ini sudah mencecah usia persaraan wajib penjawat awam. Namun pengukuran bagi sesebuah negara, ia masih dianggap baru mencapai umur remaja.

Berdasarkan kepada pengiraan itu, ternyata masih jauh lagi perjalanan negara ini terutamanya dalam mengejar status negara maju. Pastinya untuk merealisasikan misi dan visi itu, kita banyak bergantung pada tenaga muda untuk terus bina negara ini. Mereka ini yang akan memastikan kesinambungan kemerdekaan kita apatah lagi memacu negara berdasarkan acuan tradisi ketimuran.

Untuk itu kita harus mempunyai orang muda berinspirasi, patriotik dan jitu pegangan jati dirinya. Memperkasa dan memapankan belia menjadi tugas penting untuk mencipta Malaysia lebih gemilang, utuh dan maju ke hadapan. Pada masa sama, perlu wujud usaha bersepadu yang harus dirangka dengan lebih baik untuk memperkasa belia Malaysia.

Mengutip kata-kata Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan iM4U Sentral di Puchong lebih setahun lalu iaitu golongan belia perlu ada jati diri lebih kukuh, mantap serta berdaya tahan bagi menghadapi segala pancaroba. Jika golongan ini gagal dibentuk, pastinya persoalan mengenai kedaulatan negara menjadi satu titik tanda soal yang besar. Apatah lagi persoalan mengenai sifat ‘self-belonging’ dan kesetiaan mereka.

Kaji selidik tahap jati diri

Untuk memastikan kelangsungan jati diri dalam kalangan belia, Universiti Utara Malaysia (UUM), di bawah teraju Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak mengorak langkah proaktif dengan memperuntukkan dana bagi pihak kami (Institut Pemikiran Dr Mahathir) meneliti akan kegusaran umum mengenai status dan tahap jati diri dalam kalangan belia.

Sesuai dengan peruntukan diberikan, satu instrumen kajian berbentuk soal-selidik dibina untuk meneliti sampel dalam kalangan belia Kedah. Walaupun kajian ini tidak boleh dinyatakan sebagai dapatan untuk seluruh Malaysia tetapi ia dapat beri anggapan situasi keseluruhan Malaysia.

Daripada 500 soalan kaji selidik yang diedarkan pada Julai 2017, ada tiga soalan utama yang penulis ingin ketengahkan di sini.

Pertama, soalan sama ada responden bangga menjadi warganegara Malaysia. Jawapan cukup positif iaitu 94 peratus bersetuju, namun masih ada merasakan mereka tidak bersetuju, iaitu mereka tidak langsung bangga.

Soalan kedua menarik dibincangkan ialah mengenai sifat memburukkan nama Malaysia, dengan 97 peratus responden amat tidak rela ini berlaku, namun masih ada tiga peratus tidak begitu kisah tindakan orang tertentu memburuk-burukkan nama Malaysia di persada dunia.

Akan tetapi peratus paling membimbangkan iaitu hampir 15 peratus responden setuju tidak perlu lagi menyambut Hari Kebangsaan/Kemerdekaan kerana ia sekadar sejarah lama dan perlu dilupakan. Ini secara tidak langsung memberikan satu petanda bahawa perjuangan dan susah perit mencapai kemerdekaan sesuatu yang tidak penting dan tidak perlu lagi dikenang dan dihargai.

Negara terdedah kepada seribu macam cabaran

Walaupun dalam tiga soalan yang dinyatakan di atas, masih menunjukkan tahap jati diri tinggi belia, tetapi simpton negatif kelihatan. Ini ibarat barah yang mula dikesan, jika kita terus biarkan akan pasti merebak yang akhirnya memusnahkan keseluruhan negara kelak. Sesuatu bersifat mendesak dalam memperbaiki jati diri belia perlu dilaksanakan segera sebelum parah.

Penulis percaya, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai cabaran lebih berat memastikan belia Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perdana untuk menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa. Kita juga jangan lupa, belia negara sering terdedah dengan seribu macam cabaran dan penyakit sosial.

Apakah remaja kita begitu mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif? Apa yang bakal terjadi kepada mereka? Ke manakah hala tuju negara? Mampukah belia harapan bangsa ini menggalas aspirasi negara pada masa depan? Mampukah kita terus pertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan dengan titisan darah pahlawan terdahulu?

Berjayakah kita capai TN50 yang kita impikan? Semua ini mampu kita jawab dengan satu keyakinan iaitu hanya belia yang ada ketahanan jati diri kuat sahaja mampu tangkis segala cabaran dan rintangan mendatangi. Tanpanya, mungkin belia akan hanyut dalam arus globalisasi yang begitu menyesakkan ini.

Maka penulis mencadangkan agar setiap pihak menggembleng tenaga memastikan belia tidak kecundang awal. Mungkin KBS, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh lihat kepada cadangan berikut yang penulis fikir amat penting bagi memastikan jati diri belia sentiasa di tahap maksimum;

 

  • Merangka strategi dan program khas pembangunan semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan belia tanpa mengira bangsa dan tahap pendidikan
  • Menjadikan modul kenegaraan dan literasi kewarganegaraan sebagai sebahagian modul pendidikan dan menjadikan ia sebagai subjek wajib lulus di semua tahap pengajian
  • Mewujudkan mekanisme khusus untuk bangunkan semangat kesukarelaan dalam kalangan belia
  • Meningkatkan semangat perpaduan kalangan belia pelbagai kaum selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

 

Melentur buluh biar dari rebungnya. Kita jangan alpa dan ambil mudah akan mereka kerana penulis khuatir satu hari nanti ketika kedaulatan negara tergugat berpunca daripada kelemahan jati diri barulah kita hendak tengadah. Ketika itu juga nasi sudah jadi bubur dan tidak guna disalahkan sesiapa kerana kesalahan sebenar terletak di atas bahu kita sendiri.

Penulis adalah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *