News Categories: Rencana

04 Sep
By: admin 0

Misi Malaysia sebagai hab pendidikan terkemuka dunia

PADA Februari lalu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud berkenan menerima dua ijazah kedoktoran kehormat dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Majlis itu sesuatu yang istimewa dan menunjukkan pengiktirafan baginda kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) negara. Ini juga memandangkan Raja Salman sudi meluangkan dua daripada tiga malamnya di Malaysia bersama universiti tempatan.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya juga menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Menteri Arab Saudi berkaitan isu pendidikan ketika lawatan mereka. Sejak beberapa bulan lalu, MoU bersama Senegal dan Turki juga ditandatangani. MoU berkenaan penting kerana dapat memperkasakan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi bersama negara terbabit. Saya berbangga kerana ia menunjukkan pengiktirafan dan penerimaan kualiti sistem pendidikan tinggi Malaysia dalam arena global.

Malaysia berhasrat menjadi destinasi pendidikan global menjelang 2025 dan pengiktirafan oleh negara luar adalah langkah positif ke arah mencapai hasrat itu. Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), lebih lima juta pelajar dijangka keluar dari negara asal bagi melanjutkan pendidikan tinggi pada 2015. Daripada jumlah ini, kira-kira 53 peratus berasal dari Asia, Eropah (25 peratus), manakala lapan peratus lagi dari Afrika. Ini juga trend yang meningkat.

5 sebab pilih Malaysia

Di Malaysia, mulai 31 Disember 2016, ada 172,886 pelajar antarabangsa di IPT, sekolah antarabangsa dan swasta, serta pusat bahasa. Pada peringkat IPT sahaja, ada 132,710 pelajar antarabangsa. Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), kerajaan menyasarkan kemasukan 250,000 pelajar antarabangsa ke Malaysia menjelang 2025 pada setiap peringkat pendidikan.

Melihat kepada pelbagai isu berbangkit di seluruh dunia, seperti keadaan ekonomi mencabar dan perubahan dalam trend sosiopolitik di Eropah, benua Amerika dan sebagainya, ini bermaksud pelajar antarabangsa sedang mencari alternatif kepada destinasi pendidikan tinggi, selain destinasi popular seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia.

Saya percaya ini adalah masa sesuai bagi Malaysia mempromosi pendidikan tingginya demi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa. Menurut laporan UNESCO 2014 bertajuk Higher Education Asia: Expanding Up, Expanding Out, ada lima sebab utama mengapa pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan iaitu keselesaan kebudayaan, kos rendah, kualiti pada kos, bahasa pengantar dan kualiti kehidupan.

Laporan juga menyatakan ‘Malaysia menyediakan satu persekitaran yang aman bagi penuntut beragama Islam’. Kos pendidikan tinggi di Malaysia juga diiktiraf lebih murah berbanding negara lain dan kualiti pendidikan tinggi semakin meningkat.

Berdasarkan kaji selidik QS Best Student Cities 2017, Kuala Lumpur dipilih sebagai bandar paling mampu di dunia untuk pelajar. Kualiti pendidikan di Malaysia juga dikatakan semakin meningkat. Dalam ranking dunia QS menurut subjek 2017, 11 subjek ditawarkan universiti tempatan tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia. Mata pelajaran itu merangkumi kejuruteraan kimia, mekanikal dan elektrik, hospitaliti dan pelancongan serta kajian pembangunan.

Garis panduan mesra-keluarga

Mulai tahun ini, universiti awam memperuntukkan lima peratus daripada tempat dalam program perubatan, farmasi dan pergigian kepada pelajar antarabangsa. Ini adalah peluang baik kepada pelajar antarabangsa kerana kualiti fakulti itu amat tinggi. Sebagai contoh, Fakulti Perubatan UM berada di kedudukan ke-31 dunia bagi kategori reputasi akademik. sekali gus mengatasi Universiti Pennsylvania. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) pula masing-masing menduduki tempat ke-49 dan ke-52 dunia.

Malaysia juga tuan rumah kepada cawangan 10 universiti antarabangsa terbaik, termasuk Monash dan Nottingham (yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia). Asia School of Business (ASB), hasil kerjasama universiti terkemuka dunia MIT Sloan Management School juga berada di Malaysia. Hal ini bermakna pelajar antarabangsa mempunyai pelbagai pilihan dalam menentukan bidang bersesuaian.

Kementerian juga memberi tumpuan untuk meningkatkan pengambilan pada peringkat pasca-siswazah – Sarjana, PhD, dan juga pascakedoktoran. Pada masa kini, kira-kira 23 peratus daripada semua pelajar antarabangsa di Malaysia kita sedang mengikuti pengajian ijazah pascasiswazah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan secara keseluruhannya berusaha memperbaiki sistem pengurusan pelajar antarabangsa. Kini, visa pelajar dikeluarkan bagi keseluruhan tempoh program dan aplikasi visa boleh dibuat secara online. Kementerian juga sudah merangka garis panduan mesra-keluarga yang membolehkan pelajar antarabangsa bersama keluarga mereka.

Jana RM5.9 bilion setahun

Di Malaysia, pelajar antarabangsa kini menyumbang kira-kira RM5.9 bilion setahun kepada ekonomi. Kementerian menganggarkan jumlah ini meningkat kepada RM15.6 bilion menjelang 2020. Malaysia sudah pasti menjadi destinasi pendidikan yang sangat menarik untuk pelajar antarabangsa. Bagaimanapun, saya percaya ada ruang untuk kita menjadi sebuah negara yang lebih mesra pelajar.

Semakin ramai pelajar antarabangsa datang ke Malaysia, semakin berpeluang rakyat Malaysia meluaskan perspektif, mempelajari budaya baharu dan lebih mengenali rakyat negara lain.

Saya percaya, kesedaran lebih tinggi akan membawa kepada pengalaman lebih baik untuk semua. Kita harus saling memperingati bahawa pelajar antarabangsa itu masih muda. Mereka datang ke Malaysia dengan harapan menimba ilmu dan pengalaman berharga. Oleh itu, kita perlu membantu mereka.

Dengan sikap terbuka dalam era global ini serta minda yang mampu sesuaikan diri diselaras peluang dibawa oleh evolusi teknologi pantas, Malaysia mempunyai semua unsur itu untuk melonjak sebagai hab pendidikan global.

Penulis adalah Menteri Pendidikan Tinggi

Read More
23 Aug
By: admin 0

Dilema pilih jurusan untuk sambung ke IPTA/IPTS

SUDAH masuk musim akhir bagi tahun ini untuk pengambilan penuntut baharu di kolej-kolej dan institut pengajian tinggi (IPT). Semakin bingung pula bagi calon penuntut baharu untuk menentukan jurusan apa yang mereka inginkan.

Pasti ramai mengalami gejolak batin yang tidak keruan apabila perlu memilih jurusan yang banyak bergantung antara kehendak dan minat diri, desakan orang tua serta pengaruh rakan-rakan, tepatnya bagi menentukan prospek kerja pada masa depan.

Kita biasa mendengar kata-kata, ‘hidup adalah pilihan’. Kita berhak menentukan pilihan hidup kita sendiri, ingin jadi apa pada masa depan. Mahu tak mahu, dilema dalam memilih jurusan tetap perlu dihadapi.

Yang pastinya, banyak faktor mempengaruhi, namun jangan pula kita salah buat pilihan.

Punca kekeliruan memilih jurusan, timbulkan kesan kemudian hari

Tamat zaman persekolahan, pastinya setiap kita perlu melalui detik untuk memikirkan masa depan. Ke mana arah tuju selepas itu – sambung belajar, bekerja, bantu ibu bapa dan sebagainya.

Jika memilih untuk sambung belajar, paling dilema sudah pasti dalam menentukan jurusan yang hendak dipilih. Apa tidaknya, jika salah pilih, dikhuatiri memberi kesan kepada masa depan, terutama dalam mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah, Dr Mahazir Ismail berkata, polemik mengenai masalah pengangguran bermula daripada pelbagai aspek.

Beliau tidak menafikan, salah satunya ialah isu ‘pertempuran’ antara jurusan hendak dipilih, jurusan yang terpilih dan jurusan yang tidak terpilih.

“Agenda ini menjuruskan kepada pelbagai rentetan topik iaitu masalah minat utama yang tidak menepati dengan program atau jurusan dipilih, atau masalah jurusan terpilih atau ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi tidak sesuai dengan keinginan atau jurusan dipilih itu adalah yang ‘dipaksa’ oleh ibu bapa, rakan-rakan atau guru-guru.

“Rata-rata pelajar sering berdepan masalah ketika membuat keputusan memilih jurusan dan institusi sesuai akan mereka pilih kerana kebanyakannya tidak kenal potensi diri dan bakat ada pada diri masing-masing,” katanya mengulas berhubung dilema dalam memilih jurusan di IPT.

Menurutnya, kekeliruan dalam pemilihan jurusan akan mengakibatkan kesan di kemudian hari.

Mahazir berkata, ramai pelajar atau remaja tidak atau tak tahu memantapkan pemilihan jurusan sesuai dengan potensi mereka, terpengaruh dengan rakan-rakan, hanya mengikut rakan atau kemahuan ibu bapa atau ada juga mengikut haluan dan keinginan kekasih mereka.

“Dalam memilih IPT yang dihasratkan, terdapat beberapa faktor diambil kira mengikut persepsi pelajar. Antaranya jenis kursus ditawarkan di universiti berkenaan, reputasi akademiknya, persekitaran kampus, kualiti staf, jenis universiti, jarak universiti daripada rumah, nasihat keluarga, pengaruh kawan, kos termasuk yuran pengajian dan sebagainya.

“Faktor-faktor disenaraikan mungkin mempengaruhi kecenderungan pelajar dalam memilih universiti dirasakan paling bagus bagi dirinya,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pemilihan ini bukanlah suatu perkara mudah dan seseorang pelajar itu yang lazimnya akan dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran dan dalaman terdapat di persekitarannya.

Bagi calon penuntut telah mengenal pasti kerjaya diinginkan, lebih mudah untuk mereka membuat pemilihan, tetapi bagi yang masih belum melakukan pemilihan kerjaya pastinya akan menghadapi masalah dan dilema membuat pemilihan mengikut minat serta kriteria ada pada diri mereka.

“Selain itu, teori kerjaya berasaskan personaliti dibentuk juga antaranya menyatakan bahawa kualiti perhubungan awal dialami oleh individu mempengaruhi perkembangan minat. Ia kemudiannya mempengaruhi pemilihan kerjaya dan individu boleh dikelompokkan kepada pelbagai jenis personaliti tertentu.

“Proses pemilihan kerjaya berakhir setelah wujud kompromi di antara minat, kebolehan, nilai dan peluang-peluang. Kedua-dua unsur teori ini dapat diperhatikan dalam kajian dilakukan ini apabila corak pemilihan aliran pengajian dibuat adalah berdasarkan beberapa pemboleh ubah personaliti penuntut,” katanya.

Menurutnya, maklumat dari kajian ini juga mampu meningkatkan pemahaman dan kesedaran pihak berkenaan terhadap personaliti siswa yang sedang mengikuti program pengajian pra-universiti dengan menjalankan program-program serta struktur akademik yang bertepatan bagi meningkatkan kecemerlangan mereka.

Tegas Mahazir, apa pun proses pemilihan aliran pengajian yang tepat dan bersesuaian dengan kelulusan, minat dan personaliti diri penting dalam menentukan arah tuju kehidupan dan kerjaya. Oleh itu, perancangan teliti dan rapi perlu dibuat dengan sebaik mungkin agar bersesuaian dengan kebolehan diri, kepuasan dan jaminan masa hadapan.

Menyentuh soal penuntut menceburi keusahawanan pula, menurutnya golongan itu berada di antara bakat, minat atau terpaksa.

Sokongan semua

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr Muhammad Mokhzaini Azizan berkata, dalam memilih jurusan pengajian di universiti, bakal penuntut perlu dipersiapkan dengan sokongan semua pihak termasuklah ibu bapa dan keluarga, kerajaan dan universiti bakal menawarkan jurusan pengajian.

Menurutnya, dalam  era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sedang semarak tika ini, siap siaga universiti amat penting dalam merangka dan mengemas kini program atau jurusan pengajian supaya akhirnya graduan dapat memperoleh ilmu selaras arus dan zaman kemodenan, seterusnya menyumbang nilai tambah kepada sosioekonomi negara melalui pekerjaan.

“Jika dianalisis dengan teliti, ada pekerjaan ketika ini wujud, tidak akan wujud lagi pada masa hadapan kerana kemodenan pembangunan telah melenyapkan keperluan pekerjaan berkenaan, di mana tugas pekerjaan itu digantikan dengan aplikasi pintar yang dibangunkan sistem elektronik dan kecerdasan buatan (artificial intelligence). Sebagai contoh pekerjaan sebagai telefonis atau PRO mungkin tidak akan wujud lagi pada masa hadapan di mana ia bakal diganti dengan paparan digital mesra pengguna dan lebih informatif selain mampu berfungsi 24 jam sehari tujuh hari seminggu.

“Di sinilah peranan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) lebih nyata. KPT yang senantiasa memantau keberkesanan dan siap siaga universiti dalam menawarkan program dan jurusan pengajian yang lebih relevan dan dinamik, perlu cergas dan cerdas dalam menentukan visi dan misi pendidikan tinggi negara,” katanya.

Menurutnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT), Lonjakan 1 : Graduan Holistik, Bercirikan Usahawan dan Seimbang telah menjadi antara kepentingan tahap tinggi pihak KPT. Melalui iCGPA, 2u2i, dan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT, pihak KPT telah giat mempersiapkan universiti dan bakal graduan agar lebih berdaya saing untuk meningkatkan nilai tambah masyarakat melalui pendidikan tinggi.

Mokhzaini berkata, ibu bapa dan keluarga perlu turut serta dalam arus lonjakan positif sedang berlangsung dengan lebih terbuka dan ambil peduli perihal semasa agar lebih berpengetahuan demi membantu anak dan keluarga.

Tak harus dipengaruhi

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM) dan Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, UM, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri, turut berkongsi pengalamannya semasa memilih jurusan pengajian.

Pernah bercita-cita menjadi seorang doktor perubatan, namun akhirnya mengikuti bidang kejuruteraan sehingga peringkat PhD.

“Pemilihan jurusan oleh pelajar lepasan sekolah atau matrikulasi tidak seharusnya dipengaruhi orang lain, kecuali diri mereka itu sendiri kerana biar apa pun jurusan diambil, dan jenis pekerjaan bakal menanti, kesemuanya amat bergantung kepada motivasi dan keyakinan dalaman pelajar itu sendiri.

“Dalam erti kata lain, dalam usaha untuk berjaya, aspek terpenting adalah sejauh mana kehendak si penuntut untuk berusaha sehabis baik dalam mengharungi cabaran bakal ditempuh,” katanya.

Menurutnya, setiap jurusan di universiti mempunyai cabaran tersendiri, yang bakal mempersiapkan penuntut menghadapi dunia kerjaya kelak.

Tegasnya, tiada istilah jurusan yang mudah atau sukar, kerana yang tinggal hanyalah kemahuan penuntut mengharungi cabaran dan merebut peluang tersedia selama bergelar mahasiswa di IPT.

“Usaha gigih ini bakal membentuk diri menjadi ahli yang berfungsi dengan baik  dalam masyarakat, mahu pun kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Tip pilih jurusan

Pegawai Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, Azizul Azrin Mahmor berkongsi tip pemilihan jurusan.

Menurutnya, pertama, perlu kenali kelayakan diri – misalnya, bakal penuntut politeknik perlu tahu tahap kelulusan dicapai semasa peringkat SPM bagi memenuhi syarat minimum kelayakan masuk sesuatu program sebelum membuat permohonan supaya tidak membuang masa dan berharap kepada sesuatu permohonan yang anda sudah tahu akan gagal.

Kedua, kenali minat dengan sekurang-kurangnya tanya kepada diri sendiri arah tujuan dalam pendidikan sama ada mahu ke bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan, sains, teknikal atau hospitaliti dan sebagainya.

Azizul berkata, kebanyakan penuntut gagal dalam pengajian adalah kerana mereka tidak meminati kursus yang diambil.

“Ketiga, kenali kemampuan anda. Buat sedikit kajian mengenai kursus bakal diambil dan banding bezakan dengan kemampuan ada pada diri bagi menentukan anda mampu harungi cabaran program sehingga tamat.

“Keempat, dapatkan pandangan pakar dalam memberi pendapat kursus bakal diambil atau sekurang-kurangnya berbincanglah dengan ibu bapa, keluarga dan cikgu. Pendapat mereka mampu membantu anda dalam memilih kursus terbaik,” katanya.

Kelima, pastikan lokasi IPT dipilih sesuai dengan jiwa kerana ada segelintir penuntut tidak gemar berjauhan dari keluarga, maka pilihlah IPT yang lokasi jaraknya bersesuaian dengan jiwa dan tahap ketahanan mental dalam menghadapi ‘homesick’.

Read More
22 Aug
By: admin 0

Belia berjiwa patriotik cipta kegemilangan negara

Tidak lama lagi kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-60. Kalau diukur menerusi umur manusia, angka ini sudah mencecah usia persaraan wajib penjawat awam. Namun pengukuran bagi sesebuah negara, ia masih dianggap baru mencapai umur remaja.

Berdasarkan kepada pengiraan itu, ternyata masih jauh lagi perjalanan negara ini terutamanya dalam mengejar status negara maju. Pastinya untuk merealisasikan misi dan visi itu, kita banyak bergantung pada tenaga muda untuk terus bina negara ini. Mereka ini yang akan memastikan kesinambungan kemerdekaan kita apatah lagi memacu negara berdasarkan acuan tradisi ketimuran.

Untuk itu kita harus mempunyai orang muda berinspirasi, patriotik dan jitu pegangan jati dirinya. Memperkasa dan memapankan belia menjadi tugas penting untuk mencipta Malaysia lebih gemilang, utuh dan maju ke hadapan. Pada masa sama, perlu wujud usaha bersepadu yang harus dirangka dengan lebih baik untuk memperkasa belia Malaysia.

Mengutip kata-kata Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan iM4U Sentral di Puchong lebih setahun lalu iaitu golongan belia perlu ada jati diri lebih kukuh, mantap serta berdaya tahan bagi menghadapi segala pancaroba. Jika golongan ini gagal dibentuk, pastinya persoalan mengenai kedaulatan negara menjadi satu titik tanda soal yang besar. Apatah lagi persoalan mengenai sifat ‘self-belonging’ dan kesetiaan mereka.

Kaji selidik tahap jati diri

Untuk memastikan kelangsungan jati diri dalam kalangan belia, Universiti Utara Malaysia (UUM), di bawah teraju Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak mengorak langkah proaktif dengan memperuntukkan dana bagi pihak kami (Institut Pemikiran Dr Mahathir) meneliti akan kegusaran umum mengenai status dan tahap jati diri dalam kalangan belia.

Sesuai dengan peruntukan diberikan, satu instrumen kajian berbentuk soal-selidik dibina untuk meneliti sampel dalam kalangan belia Kedah. Walaupun kajian ini tidak boleh dinyatakan sebagai dapatan untuk seluruh Malaysia tetapi ia dapat beri anggapan situasi keseluruhan Malaysia.

Daripada 500 soalan kaji selidik yang diedarkan pada Julai 2017, ada tiga soalan utama yang penulis ingin ketengahkan di sini.

Pertama, soalan sama ada responden bangga menjadi warganegara Malaysia. Jawapan cukup positif iaitu 94 peratus bersetuju, namun masih ada merasakan mereka tidak bersetuju, iaitu mereka tidak langsung bangga.

Soalan kedua menarik dibincangkan ialah mengenai sifat memburukkan nama Malaysia, dengan 97 peratus responden amat tidak rela ini berlaku, namun masih ada tiga peratus tidak begitu kisah tindakan orang tertentu memburuk-burukkan nama Malaysia di persada dunia.

Akan tetapi peratus paling membimbangkan iaitu hampir 15 peratus responden setuju tidak perlu lagi menyambut Hari Kebangsaan/Kemerdekaan kerana ia sekadar sejarah lama dan perlu dilupakan. Ini secara tidak langsung memberikan satu petanda bahawa perjuangan dan susah perit mencapai kemerdekaan sesuatu yang tidak penting dan tidak perlu lagi dikenang dan dihargai.

Negara terdedah kepada seribu macam cabaran

Walaupun dalam tiga soalan yang dinyatakan di atas, masih menunjukkan tahap jati diri tinggi belia, tetapi simpton negatif kelihatan. Ini ibarat barah yang mula dikesan, jika kita terus biarkan akan pasti merebak yang akhirnya memusnahkan keseluruhan negara kelak. Sesuatu bersifat mendesak dalam memperbaiki jati diri belia perlu dilaksanakan segera sebelum parah.

Penulis percaya, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai cabaran lebih berat memastikan belia Malaysia tidak ketinggalan dalam arus perdana untuk menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa. Kita juga jangan lupa, belia negara sering terdedah dengan seribu macam cabaran dan penyakit sosial.

Apakah remaja kita begitu mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif? Apa yang bakal terjadi kepada mereka? Ke manakah hala tuju negara? Mampukah belia harapan bangsa ini menggalas aspirasi negara pada masa depan? Mampukah kita terus pertahankan kemerdekaan yang diperjuangkan dengan titisan darah pahlawan terdahulu?

Berjayakah kita capai TN50 yang kita impikan? Semua ini mampu kita jawab dengan satu keyakinan iaitu hanya belia yang ada ketahanan jati diri kuat sahaja mampu tangkis segala cabaran dan rintangan mendatangi. Tanpanya, mungkin belia akan hanyut dalam arus globalisasi yang begitu menyesakkan ini.

Maka penulis mencadangkan agar setiap pihak menggembleng tenaga memastikan belia tidak kecundang awal. Mungkin KBS, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi boleh lihat kepada cadangan berikut yang penulis fikir amat penting bagi memastikan jati diri belia sentiasa di tahap maksimum;

 

  • Merangka strategi dan program khas pembangunan semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan belia tanpa mengira bangsa dan tahap pendidikan
  • Menjadikan modul kenegaraan dan literasi kewarganegaraan sebagai sebahagian modul pendidikan dan menjadikan ia sebagai subjek wajib lulus di semua tahap pengajian
  • Mewujudkan mekanisme khusus untuk bangunkan semangat kesukarelaan dalam kalangan belia
  • Meningkatkan semangat perpaduan kalangan belia pelbagai kaum selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

 

Melentur buluh biar dari rebungnya. Kita jangan alpa dan ambil mudah akan mereka kerana penulis khuatir satu hari nanti ketika kedaulatan negara tergugat berpunca daripada kelemahan jati diri barulah kita hendak tengadah. Ketika itu juga nasi sudah jadi bubur dan tidak guna disalahkan sesiapa kerana kesalahan sebenar terletak di atas bahu kita sendiri.

Penulis adalah Pengarah IPDM, Universiti Utara Malaysia

Read More