22 Aug
By: admin 0

Kenali potensi diri melalui program Gap Year

Kuala Nerus: Penuntut universiti awam (UA) berpeluang mengenali potensi diri dan muncul sebagai graduan lebih berkualiti menerusi tiga jenis program Gap Year iaitu kesukarelawanan khidmat negara, kesukarelawanan dan umum yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai bulan depan.

Gap Year ialah program yang memberi peluang kepada penuntut UA berehat seketika daripada aktivti pembelajaran dengan mengikuti program kesukarelawanan, keusahawanan, bersukan atau bersifat umum atas pilihan masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sebagai permulaan tiga program Gap Year terbabit akan diperkenalkan di sembilan UA sebelum ia diperluaskan.

Menurutnya, kesukarelawanan khidmat negara akan menempatkan penuntut yang berminat untuk berkhidmat sebagai sukarelawan pasukan beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selama setahun.

Kesukarelawanan pula membabitkan kerjasama universiti bersama pelbagai agensi berkaitan dengan kerja sukarela seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Menerusi program ini, penuntut UA perlu mengikuti dan melaksanakan aktiviti kesukarelawanan antara tempoh tiga bulan hingga setahun.

“Penuntut juga boleh pilih sendiri untuk menangguhkan pengajian mereka bagi membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti antaranya sukan, keusahawanan, meningkatkan kemahiran atau melancong,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pemimpin Mahasiswa Kebangsaan dan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam Kebangsaan 2017 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, semalam.

Menurutnya, pelepasan yang diberi menerusi program berkenaan diharapkan dapat mendatangkan manfaat kepada penuntut sekali gus mampu mengenali potensi diri masing-masing.

“Pelbagai aktiviti atau kerja yang dipilih ini akan memberi faedah sekali gus mematangkan diri masing-masing. Jika penuntut pilih untuk bekerja, mereka boleh cari tempat kerja bersesuaian dengan bidang yang dipelajari atau lebih hebat lagi dapat pupuk jiwa keusahawanan dalam diri seiring dengan hasrat kementerian melahirkan graduan yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Idris berkata, penuntut yang berminat menyertai program itu perlu mendapat kelulusan dan mengikut syarat ditetapkan universiti masing-masing berdasarkan tempoh minimum selama satu semester dan maksimum selama satu tahun mengikut kalendar akademik.

“Penuntut yang tamat peperiksaan akhir semester boleh keluar daripada sistem akademik biasa dan memilih sama ada ingin melakukan kerja kesukarelawan bersama NGO, membantu keluarga, bekerja atau melancong untuk memperoleh pengalaman yang mungkin tiada di universiti,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *