23 Aug
By: admin 0

Dilema pilih jurusan untuk sambung ke IPTA/IPTS

SUDAH masuk musim akhir bagi tahun ini untuk pengambilan penuntut baharu di kolej-kolej dan institut pengajian tinggi (IPT). Semakin bingung pula bagi calon penuntut baharu untuk menentukan jurusan apa yang mereka inginkan.

Pasti ramai mengalami gejolak batin yang tidak keruan apabila perlu memilih jurusan yang banyak bergantung antara kehendak dan minat diri, desakan orang tua serta pengaruh rakan-rakan, tepatnya bagi menentukan prospek kerja pada masa depan.

Kita biasa mendengar kata-kata, ‘hidup adalah pilihan’. Kita berhak menentukan pilihan hidup kita sendiri, ingin jadi apa pada masa depan. Mahu tak mahu, dilema dalam memilih jurusan tetap perlu dihadapi.

Yang pastinya, banyak faktor mempengaruhi, namun jangan pula kita salah buat pilihan.

Punca kekeliruan memilih jurusan, timbulkan kesan kemudian hari

Tamat zaman persekolahan, pastinya setiap kita perlu melalui detik untuk memikirkan masa depan. Ke mana arah tuju selepas itu – sambung belajar, bekerja, bantu ibu bapa dan sebagainya.

Jika memilih untuk sambung belajar, paling dilema sudah pasti dalam menentukan jurusan yang hendak dipilih. Apa tidaknya, jika salah pilih, dikhuatiri memberi kesan kepada masa depan, terutama dalam mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah, Dr Mahazir Ismail berkata, polemik mengenai masalah pengangguran bermula daripada pelbagai aspek.

Beliau tidak menafikan, salah satunya ialah isu ‘pertempuran’ antara jurusan hendak dipilih, jurusan yang terpilih dan jurusan yang tidak terpilih.

“Agenda ini menjuruskan kepada pelbagai rentetan topik iaitu masalah minat utama yang tidak menepati dengan program atau jurusan dipilih, atau masalah jurusan terpilih atau ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi tidak sesuai dengan keinginan atau jurusan dipilih itu adalah yang ‘dipaksa’ oleh ibu bapa, rakan-rakan atau guru-guru.

“Rata-rata pelajar sering berdepan masalah ketika membuat keputusan memilih jurusan dan institusi sesuai akan mereka pilih kerana kebanyakannya tidak kenal potensi diri dan bakat ada pada diri masing-masing,” katanya mengulas berhubung dilema dalam memilih jurusan di IPT.

Menurutnya, kekeliruan dalam pemilihan jurusan akan mengakibatkan kesan di kemudian hari.

Mahazir berkata, ramai pelajar atau remaja tidak atau tak tahu memantapkan pemilihan jurusan sesuai dengan potensi mereka, terpengaruh dengan rakan-rakan, hanya mengikut rakan atau kemahuan ibu bapa atau ada juga mengikut haluan dan keinginan kekasih mereka.

“Dalam memilih IPT yang dihasratkan, terdapat beberapa faktor diambil kira mengikut persepsi pelajar. Antaranya jenis kursus ditawarkan di universiti berkenaan, reputasi akademiknya, persekitaran kampus, kualiti staf, jenis universiti, jarak universiti daripada rumah, nasihat keluarga, pengaruh kawan, kos termasuk yuran pengajian dan sebagainya.

“Faktor-faktor disenaraikan mungkin mempengaruhi kecenderungan pelajar dalam memilih universiti dirasakan paling bagus bagi dirinya,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pemilihan ini bukanlah suatu perkara mudah dan seseorang pelajar itu yang lazimnya akan dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran dan dalaman terdapat di persekitarannya.

Bagi calon penuntut telah mengenal pasti kerjaya diinginkan, lebih mudah untuk mereka membuat pemilihan, tetapi bagi yang masih belum melakukan pemilihan kerjaya pastinya akan menghadapi masalah dan dilema membuat pemilihan mengikut minat serta kriteria ada pada diri mereka.

“Selain itu, teori kerjaya berasaskan personaliti dibentuk juga antaranya menyatakan bahawa kualiti perhubungan awal dialami oleh individu mempengaruhi perkembangan minat. Ia kemudiannya mempengaruhi pemilihan kerjaya dan individu boleh dikelompokkan kepada pelbagai jenis personaliti tertentu.

“Proses pemilihan kerjaya berakhir setelah wujud kompromi di antara minat, kebolehan, nilai dan peluang-peluang. Kedua-dua unsur teori ini dapat diperhatikan dalam kajian dilakukan ini apabila corak pemilihan aliran pengajian dibuat adalah berdasarkan beberapa pemboleh ubah personaliti penuntut,” katanya.

Menurutnya, maklumat dari kajian ini juga mampu meningkatkan pemahaman dan kesedaran pihak berkenaan terhadap personaliti siswa yang sedang mengikuti program pengajian pra-universiti dengan menjalankan program-program serta struktur akademik yang bertepatan bagi meningkatkan kecemerlangan mereka.

Tegas Mahazir, apa pun proses pemilihan aliran pengajian yang tepat dan bersesuaian dengan kelulusan, minat dan personaliti diri penting dalam menentukan arah tuju kehidupan dan kerjaya. Oleh itu, perancangan teliti dan rapi perlu dibuat dengan sebaik mungkin agar bersesuaian dengan kebolehan diri, kepuasan dan jaminan masa hadapan.

Menyentuh soal penuntut menceburi keusahawanan pula, menurutnya golongan itu berada di antara bakat, minat atau terpaksa.

Sokongan semua

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr Muhammad Mokhzaini Azizan berkata, dalam memilih jurusan pengajian di universiti, bakal penuntut perlu dipersiapkan dengan sokongan semua pihak termasuklah ibu bapa dan keluarga, kerajaan dan universiti bakal menawarkan jurusan pengajian.

Menurutnya, dalam  era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sedang semarak tika ini, siap siaga universiti amat penting dalam merangka dan mengemas kini program atau jurusan pengajian supaya akhirnya graduan dapat memperoleh ilmu selaras arus dan zaman kemodenan, seterusnya menyumbang nilai tambah kepada sosioekonomi negara melalui pekerjaan.

“Jika dianalisis dengan teliti, ada pekerjaan ketika ini wujud, tidak akan wujud lagi pada masa hadapan kerana kemodenan pembangunan telah melenyapkan keperluan pekerjaan berkenaan, di mana tugas pekerjaan itu digantikan dengan aplikasi pintar yang dibangunkan sistem elektronik dan kecerdasan buatan (artificial intelligence). Sebagai contoh pekerjaan sebagai telefonis atau PRO mungkin tidak akan wujud lagi pada masa hadapan di mana ia bakal diganti dengan paparan digital mesra pengguna dan lebih informatif selain mampu berfungsi 24 jam sehari tujuh hari seminggu.

“Di sinilah peranan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) lebih nyata. KPT yang senantiasa memantau keberkesanan dan siap siaga universiti dalam menawarkan program dan jurusan pengajian yang lebih relevan dan dinamik, perlu cergas dan cerdas dalam menentukan visi dan misi pendidikan tinggi negara,” katanya.

Menurutnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) PPPM (PT), Lonjakan 1 : Graduan Holistik, Bercirikan Usahawan dan Seimbang telah menjadi antara kepentingan tahap tinggi pihak KPT. Melalui iCGPA, 2u2i, dan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT, pihak KPT telah giat mempersiapkan universiti dan bakal graduan agar lebih berdaya saing untuk meningkatkan nilai tambah masyarakat melalui pendidikan tinggi.

Mokhzaini berkata, ibu bapa dan keluarga perlu turut serta dalam arus lonjakan positif sedang berlangsung dengan lebih terbuka dan ambil peduli perihal semasa agar lebih berpengetahuan demi membantu anak dan keluarga.

Tak harus dipengaruhi

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM) dan Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, UM, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri, turut berkongsi pengalamannya semasa memilih jurusan pengajian.

Pernah bercita-cita menjadi seorang doktor perubatan, namun akhirnya mengikuti bidang kejuruteraan sehingga peringkat PhD.

“Pemilihan jurusan oleh pelajar lepasan sekolah atau matrikulasi tidak seharusnya dipengaruhi orang lain, kecuali diri mereka itu sendiri kerana biar apa pun jurusan diambil, dan jenis pekerjaan bakal menanti, kesemuanya amat bergantung kepada motivasi dan keyakinan dalaman pelajar itu sendiri.

“Dalam erti kata lain, dalam usaha untuk berjaya, aspek terpenting adalah sejauh mana kehendak si penuntut untuk berusaha sehabis baik dalam mengharungi cabaran bakal ditempuh,” katanya.

Menurutnya, setiap jurusan di universiti mempunyai cabaran tersendiri, yang bakal mempersiapkan penuntut menghadapi dunia kerjaya kelak.

Tegasnya, tiada istilah jurusan yang mudah atau sukar, kerana yang tinggal hanyalah kemahuan penuntut mengharungi cabaran dan merebut peluang tersedia selama bergelar mahasiswa di IPT.

“Usaha gigih ini bakal membentuk diri menjadi ahli yang berfungsi dengan baik  dalam masyarakat, mahu pun kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Tip pilih jurusan

Pegawai Hal Ehwal Pelajar Antarabangsa Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan, Azizul Azrin Mahmor berkongsi tip pemilihan jurusan.

Menurutnya, pertama, perlu kenali kelayakan diri – misalnya, bakal penuntut politeknik perlu tahu tahap kelulusan dicapai semasa peringkat SPM bagi memenuhi syarat minimum kelayakan masuk sesuatu program sebelum membuat permohonan supaya tidak membuang masa dan berharap kepada sesuatu permohonan yang anda sudah tahu akan gagal.

Kedua, kenali minat dengan sekurang-kurangnya tanya kepada diri sendiri arah tujuan dalam pendidikan sama ada mahu ke bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan, sains, teknikal atau hospitaliti dan sebagainya.

Azizul berkata, kebanyakan penuntut gagal dalam pengajian adalah kerana mereka tidak meminati kursus yang diambil.

“Ketiga, kenali kemampuan anda. Buat sedikit kajian mengenai kursus bakal diambil dan banding bezakan dengan kemampuan ada pada diri bagi menentukan anda mampu harungi cabaran program sehingga tamat.

“Keempat, dapatkan pandangan pakar dalam memberi pendapat kursus bakal diambil atau sekurang-kurangnya berbincanglah dengan ibu bapa, keluarga dan cikgu. Pendapat mereka mampu membantu anda dalam memilih kursus terbaik,” katanya.

Kelima, pastikan lokasi IPT dipilih sesuai dengan jiwa kerana ada segelintir penuntut tidak gemar berjauhan dari keluarga, maka pilihlah IPT yang lokasi jaraknya bersesuaian dengan jiwa dan tahap ketahanan mental dalam menghadapi ‘homesick’.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *